BUDIMAN Mohd. Zohdi (enam dari kiri) dan Kamarol Zaki Abd Malek (tujuh dari kiri) bergambar bersama guru-guru dan para pelajar sekolah Daerah Sabak Bernam sambil menujukkan akhbar Tutor keluaran Utusan Malaysia di Dewan Sekolah Menengah Sungai Besar, Sabak Bernam, Selangor, semalam. - UTUSAN/SAHARUDDIN ABDULLAH
SABAK BERNAM 17 Okt. - Para pelajar khususnya yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) pada November ini diingatkan supaya berpegang pada prinsip bahawa hanya kecemerlangan pendidikan yang mampu mengubah nasib mereka ke arah kehidupan lebih baik pada masa depan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Air Tawar, Kamarol Zaki Abdul Malik berkata, pendidikan adalah perkara penting yang perlu diberi perhatian oleh golongan pelajar bagi memastikan harapan ibu bapa dan kerajaan untuk melihat mereka berjaya tercapai.
"Kerajaan telah banyak melaksanakan usaha untuk memastikan tahap pendidikan berada pada tahap yang terbaik, begitu juga ibu bapa, mereka juga telah bersusah payah termasuk mengorbankan masa, tenaga dan sebagainya untuk melihat anak-anak mereka berjaya dan menikmati kehidupan yang lebih baik.
"Jadi, balaslah pengorbanan mereka itu dengan berusaha mencapai kecemerlangan pendidikan terutamanya dalam SPM dan STPM nanti," katanya ketika berucap di hadapan lebih 1,000 orang pelajar daripada 16 buah sekolah di daerah ini yang bakal menduduki peperiksaan SPM sempena majlis perasmian Taklimat Akhir Program Interaktif Tuisyen Rakyat 1Malaysia (i-TR1M) di Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Besar, di sini hari ini.
Yang turut hadir dalam majlis anjuran Persatuan Alumni Yayasan Selangor (PAYS) itu ialah ADUN Sungai Panjang, Budiman Mohd. Zohdi dan Exco PAYS, Mohd. Ali Berkat Ali.
Mengenai i-TR1M, Kamarol Zaki yang juga bekas guru berkata, program tersebut memberi manfaat besar kepada para pelajar bagaimana untuk melengkapkan diri menghadapi peperiksaan selain membantu meningkatkan kemahiran menjawab soalan.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pendidikan/20131018/pe_02/Pendidikan-mampu-beri-kehidupan-lebih-baik#ixzz2j6TkLNxn
© Utusan Melayu (M) Bhd